Categories

Al-Quran Waqaf dan Ibtida'

Al-Quran Waqaf dan Ibtida'
Al-Quran Waqaf dan Ibtida' Al-Quran Waqaf dan Ibtida'
Brand: Telaga Biru Sdn Bhd
Product Code: Q022
Availability: In Stock
Price: RM70.00 RM66.50
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Al-Quran Waqaf dan Ibtida'

 

Judul : Al-Quran al-Karim dengan Panduan Wakaf & Ibtida'
Penerbit : Telaga Biru Sdn  Bhd
Harga : RM75.00
 
ALANGKAH baiknya jika terdapat sebuah al-Quran yang dapat memberi panduan untuk seseorang itu memberhentikan bacaan (wakaf) dan memulakan bacaan (ibtida’) pada ayat-ayat yang panjang yang tidak terdapat tanda-tanda wakaf."

Itulah luahan rasa yang menjadi cetusan idea pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abd. Rauf Hassan lewat solat Subuh, kira-kira tiga tahun lalu.

Malah ilham itulah yang telah membawa kepada terhasilnya Al-Quran al-Karim dengan Panduan Wakaf dan Ibtida’ yang dijangka berada di pasaran awal Julai ini.

Uniknya lagi, Al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’ itu juga merupakan al-Quran yang pertama diterbitkan di Malaysia malah ia merupakan al-Quran yang pertama seumpamanya di dunia.

Tegas Dr. Abd. Rauf, belum terdapat penerbitan seperti itu sebelum ini, sama ada di dunia Arab mahupun di Nusantara.

Malah akui, anak kepada pakar ilmu tajwid dan tarannum terkemuka, Tan Sri Hassan Azhari itu, fikirannya terus melayang memikirkan idea tersebut sepanjang hari itu.

“Sewaktu dalam kereta ke tempat kerja, saya mula membayangkan satu sistem warna yang mudah dan menarik yang dapat memberikan panduan kepada pembaca al-Quran dalam waqaf dan ibtida'.

“Kemudian saya mula mereka dan mencipta mengunakan tiga warna dan saya letakkan dalam al-Quran bagi 20 ayat dalam surah al-Baqarah.

“Keesokkan harinya, saya terus bertemu dengan ayahanda dan berbincang dengannya mengenai idea saya. Pada mulanya, beliau kurang bersetuju atas beberapa perkara," cerita Dr. Abd. Rauf.

Pertama alasan beliau ialah waqaf dan ibtida itu merupakan satu cabang dalam ilmu tajwid yang paling susah dan sukar untuk dikuasai.

“Maka seseorang itu bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu tajwid tetapi yang penting, dia perlu faham nahu dan kaedah bahasa Arab dengan baik.

“Setelah saya menjelaskan kepada ayahanda beberapa perkara dia bersetuju dengan syarat al-Quran yang telah sempurna siap itu perlu terlebih dahulu disemak oleh Al-Syeikh Mahmud Amin Tantawi yang merupakan mantan pengerusi lajnah tashih al-Quran Mesir," kata Dr. Abd. Rauf ketika ditemui pada undangan jemputan percetakan Al-Quran al-Karim dengan Panduan wakaf dan Ibtida’ di kilang percetakan Times Offset di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Faktor yang membuatnya bersungguh-sungguh merealisasikan hasrat yang bertahun dipendamkan itu ialah ekoran masalah penguasaan bahasa Arab di kalangan umat Islam negara ini.

Lantaran itu, usaha digemblengkan bersama pihak Telaga Biru Sdn. Bhd., dengan harapan dapat membantu mereka yang tidak faham bahasa Arab dapat membaca al-Quran dengan betul. Terutama berhenti dan menyambung semula bacaan di tempat yang sepatutnya.

“Sesungguhnya dalam al-Quran tidak terdapat tempat waqaf (berhenti) yang wajib yang membuatkan seseorang itu berdosa jika tidak berhenti dan juga tidak terdapat tempat yang haram waqaf yang menyebabkan seseorang itu berdosa jika ia berhenti.

“Namun, sekiranya ayat itu akan rosak maknanya jika kita berhenti, maka wajib kita meneruskan bacaan tersebut. Begitu juga jika sesuatu ayat itu akan rosak maknanya jika kita tidak berhenti, maka wajib kita berhentikan bacaan (waqaf).

“Di sinilah, timbulnya kewajipan individu itu untuk bukan sahaja perlu memahami hukum hakam dalam ilmu tajwid, bahkan ia juga perlu mempelajari dan memahami al-Quran agar ia dapat memberhentikan bacaan dan menyambungkan bacaan pada tempat yang betul dan sesuai tanpa merosakkan maknanya," ujar Dr. Abd. Rauf.

Surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud: Bacalah kamu al-Quran dengan bacaan tartil. Dr. Abd. Rauf, para ulama menjelaskan tartil di sini bermaksud bertajwid, manakala Imam Ali Karramallahu Wajhah menjelaskan bahawa maksud tartil itu ialah mengetahui tajwid dan memahami waqaf.

“Oleh itu kesempurnaan dalam bacaan al-Quran bukan sahaja terletak pada sebutan huruf yang tepat, mengetahui panjang dan pendek dalam sesuatu ayat, membaca tebal dan nipis dalam sesuatu huruf.

“Tetapi juga yang paling penting dalam kesempurnaan sesuatu bacaan al-Quran ialah mengetahui tempat berhenti (waqaf) dan tempat memulakan sambungan (ibtida’) yang betul," jelas beliau lagi.

Pada masa sama, Dr. Abd. Rauf tidak menafikan dalam al-Quran yang sedia ada telah terdapat tanda-tanda waqaf yang sempurna. Namun persoalannya, bagaimana dengan ayat-ayat yang panjang yang sememangnya seseorang pembaca itu tidak sampai untuk berhenti dalam satu nafas dan ia perlu memilih sendiri untuk berhenti.

 

Nafas pendek

“Di sinilah persoalannya. Adakah tempat yang kita berhenti itu dianggap elok dan tidak merosakkan makna? Ini permasalahan yang saya kira dihadapi oleh umat Islam di Malaysia. Apabila seseorang itu membaca di hadapan guru atau ustaz, ia akan bertanya ‘nak berhenti di mana ustaz’? Begitu juga apabila setelah berhenti (waqaf) ia akan bertanya ‘nak mula dekat mana ustaz’?

“Maka, saya telah mengambil pendekatan warna. Pada ayat-ayat panjang yang tidak terdapat tanda waqaf, saya letakkan tiga warna, iaitu merah, hijau dan biru. Bagi warna merah, seseorang itu boleh berhenti pada akhir ayat yang berwarna merah dan memulakan ayat pada awal perkataan yang berwarna merah. Begitu juga dengan warna hijau di mana seseorang itu boleh berhenti pada akhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan bacaan pada awal perkataan yang berwarna hijau.

“Manakala warna biru pula seseorang itu boleh berhenti pada perkataan yang berwarna biru dan memulakan bacaan pada perkataan selepasnya tanpa mengulang kembali perkataan yang berwarna biru," ulas Dr. Abd. Rauf .

Mengenai harapannya, Dr. Abd. Rauf berharap usaha itu dapat membantu masyarakat Islam di Malaysia, khasnya dan masyarakat dunia amnya membaca al-Quran dengan sempurna.

Katanya, memberhentikan bacaan dengan sempurna diterima oleh Allah SWT sebagai satu usaha murni dan diberkati.

“Saya juga mengharapkan ini adalah satu hadiah istimewa buat ayahanda yang telah membesarkan saya dan memberi pelajaran yang sempurna kepada saya. Apa lagi, kita masih dalam suasana meraikan sambutan Hari Bapa.

“Saya juga mengharapkan agar al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’ yang pertama di dunia ini boleh diguna pakai bukan sahaja di Malaysia, malah di Nusantara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan di seluruh pelosok dunia seperti Pakistan, Bangladesh, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah," katanya.

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



Powered By OpenCart
BukuOnline2u.Com © 2014