Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Click image for Gallery
  • Product Code: ETC461
  • Availability: In Stock
  • RM15.00
+
-


Menyebut nama Pendita Za’ba pasti ramai yang mengenali sosok pemikiran tokoh bahasa dan budaya Melayu ini. Beliau amat dikenali sebagai sasterawan dan pemikir Melayu yang aktif menulis sekitar tahun 1940-an. Allahyarham Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad ini merupakan individu yang bukan sahaja mempunyai kebolehan dalam soal bahasa dan adat resam orang Melayu tetapi juga mampu memikirkan masalah-masalah kehidupan orang Melayu yang lebih luas seperti isu kemiskinan, pendidikan, budi pekerti dan amalan agama orang Melayu.
 
Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Za’ba memulakan fasa pendidikan beliau di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pelajaran di Institut St.Paul Seremban dan menjadi orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada tahun 1915.
 
Buku ini telah lama diilhamkan oleh tokoh ini apabila mengamati sikap yang telah menjadi sebati dalam diri orang Melayu. Matlamat beliu sudah tentunya bukan mahu mempersenda atau memperlekehkan bangsa sendiri tetapi mahu memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang kepentingan sikap yang baik dalam mencorak kehidupan peribadi.
 
Mesej beliau adalah mahu orang Melayu berusaha bersungguh-sungguh dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam urusan dunia mahupun akhirat. Segala pekerjaan harus diusahakan sendiri dan tidak bergantung semata-mata kepada pertolongan orang lain.
 
Memetik kata pengantar daripada Datuk Haji Hassan Ahmad (Ketua Pengarah DBP ketika itu), sebenarnya ada kisah di sebalik penerbitan buku ini. Za’ba mungkin menyedari mesej yang ingin disampaikan oleh beliau di dalam penulisan ini amat berat untuk oleh orang Melayu. Oleh sebab itu, beliau tidak pernah mengajukannya kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Namun, setelah lapan tahun beliau meninggal dunia, karangan ini telah disampaikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk diterbitkan oleh anak beliau.
 
Kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi memang didasari untuk mencapai kejayaan di samping mencapai keredhaan Allah SWT. Apapun yang kita usahakan pasti kita mahukan kejayaan. Ini kerana kejayaan itu adalah lambang kepada segala usaha gigih yang telah dilakukan. Kejayaan sememangnya amat penting bagi meninggikan taraf hidup masyarakat Melayu.
 
Mengamati penulisan beliau, saya kira sifat bergantung kepada orang lain ini sudah menjadi sebati dalam hidup segelintir orang Melayu yang tidak mahu berusaha dan hanya berharapkan bantuan dan ehsan orang lain.
 
Situasinya mungkin berbeza pada masa kini walaupun kita tidak menafikan sifat itu masih belum terhakis habis dalam diri kita. Yang bagusnya, berbanding dahulu, sudah ramai orang Melayu yang telah bergelar usahawan berjaya, jutawan, diiktiraf dalam bidang penciptaan sains dan teknologi dan hasil produk bumiputera. Peluang dan ruang yang telah diberikan, telah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.
 
Selain itu, Za’ba turut mengkritik amalan bidaah masyarakat Melayu-Islam yang terpesong dari al-Quran dan as-Sunnah. Kebergantungan masyarakat sepenuhnya terhadap para ulama amat ketara sehingga ada yang memohon daripada golongan alim untuk berdoa bagi pihak mereka. Malah skop pemahaman mereka tentang amalan kebajikan untuk bekalan akhirat hanya terhad dalam konteks ibadah seperti wirid, zikir, tahlil dan sebagainya sahaja. Manakala perkara-perkara baik seperti berdakwah, bekerja keras, berakhlak mulia diketepikan dalam kehidupan.
 
Za’ba juga menyentuh tentang kejayaan yang pernah dikecapi oleh umat Islam suatu ketika dahulu sehingga dipandang sebagai umat yang maju, besar, berkuasa, mulia dan disanjung tinggi. Tetapi kenapa umat Islam kini mengalami kejatuhan? Sepatutnya umat Islam kekal menjadi umat yang kuat dan berkuasa. Beliau mengutarakan persoalan adakah orang dahulu lebih beriman berbanding umat sekarang?
 
Orang Islam itu perlu beriman dan mesti seiring dengan amal soleh, berusaha, berjihad dan berjuang. Berjuang untuk memperbaiki diri, membaiki segala kekurangan, melakukan segala kebaikan dan menjauhi kejahatan. Di samping berjihad dan berijtihad dalam menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku mengikut peredaran zaman.
 
Selain itu, beliau menyentuh tentang iman umat Islam yang cetek dan langsung tidak diperbaharui, wajib memperbetulkan kesalahan dan memperbaharui pemahaman bukan sahaja dalam aspek agama tetapi juga dalam urusan lain. Dan amalan yang paling penting adalah amalan bertaubat dan kembali ke pangkal setelah melakukan kesalahan.
 
Bagi generasi Y, mungkin buku ini kurang menarik perhatian kerana penerbit tetap mengekalkan lenggok bahasa Za’ba di dalam penulisan ini. Namun, karya ini sepatutnya menjadi bahan bacaan wajib orang Melayu bagi menyusuri cara hidup masyarakat terdahulu yang masih kekal sifat dan perangainya. Dengan itu, sebagai generasi baharu yang ada sekarang, kita perlu mengambil teladan dan sempadan daripada kekurangan tersebut. Dan bukan mengekalkannya sehingga digelar bangsa yang pemalas dan bergantung harap kepada subsidi sahaja.
 
Mesejnya amat dalam dan perlu dibaca dengan mata hati yang terbuka dan tidak menganggap pendita Melayu ini mahu menjatuhkan bangsa sendiri.

Write a review

Please login or register to review

Bestsellers